KPLB kenal pasti bantuan banjir untuk Kelantan, Terengganu

kplbterengganu

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan meneruskan bantuan banjir di Kelantan dan Terengganu, sama seperti bantuan disalurkan di Pahang dan Selangor yang turut dilanda bah sama sebelum ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, agensi di bawah KPLB iaitu Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), sedang mengenal pasti bentuk bantuan segera dan jangka panjang boleh disalurkan kepada mereka terjejas.

"Saya sudah minta agensi KPLB, KETENGAH di Terengganu dan KESEDAR di Kelantan untuk ambil segala tindakan yang boleh untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

"Daerah Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman di bawah wilayah KETENGAH di Terengganu dan kemudian kita juga arahkan JPKK (Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatn Kampung), ketua kampung di bawah KPLB.

"Ini arahan sudah kita keluarkan kepada mereka (untuk mengenal pasti bentuk bantuan)," katanya pada sidang media selepas Majlis Bual Mesra dan Pra Pelepasan Pelajar Majlis Amanah Rakyat (MARA) Ke Jerman di Kampus German-Malaysian Institute (GMI) hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Ahli Majlis MARA, Datuk Rosni Sohar. Mahdzir berkata, buat masa ini belum ada peruntukan khusus diumumkan bagi membiayai kos baik pulih banjir di dua negeri berkenaan.

"Peruntukan yang mana ada, kita belanja dulu sebab ini kecemasan...kita mahu tolong mangsa-mangsa banjir sebab besar juga banjir dia, ada jambatan yang putus dan macam-macam. Itu pun kalau membabitkan KPLB kita akan susun (bantuan), Pengarah KPLB negeri juga akan lihat apa benda yang boleh dibantu dengan segera," katanya.

Sumber : BERITA HARIAN | https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/02/928543/kplb-kenal-pasti-bantuan-banjir-untuk-kelantan-terengganu

Pin It

MDHT logofooterMAJLIS DAERAH HULU TERENGGANU,
21700 Kuala Berang,
Terengganu Darul Iman.

TALIAN AM : 09-6811 149 / 466
FAKS : 09-6811 655
E-MEL : mdht@terengganu.gov.my
WAKTU OPERASI : Ahad - Khamis | 8:00pg - 5:00ptg

Penafian : Majlis Daerah Hulu Terengganu tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.