235 calon SPM kekal menumpang di pusat pemeriksaan baharu

235calonspmx

Seramai 235 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari tiga sekolah daerah Hulu Terengganu akan terus menduduki peperiksaan itu di pusat peperiksaan baharu, minggu depan.

Tiga sekolah itu adalah Sekolah Menengah Agama Mahmudiah (SMA Mahmudiah), Kuala Berang ke SMA Atas Sultan Zainal Abidin (SMASZA) di Batu Buruk; Sekolah Menengah Imtiaz (SM Imtiaz) Yayasan Terengganu, Kuala Berang ke SM Imtiaz Kuala Terengganu dan Madrasah Moden Hulu Terengganu ke SMA Khairiah, Kuala Terengganu.

Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Terengganu, Rosli Chik berkata, hasil penilaian risiko dilakukan bersama Lembaga Peperiksaan dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mendapati tiga sekolah itu belum sesuai dijadikan pusat peperiksaan awam itu walaupun air banjir surut sepenuhnya sejak Selasa lalu.

"Calon SPM di tiga sekolah itu akan terus menduduki SPM di pusat peperiksaan alternatif mulai Isnin ini selepas penilaian risiko mendapati tiga sekolah itu belum sesuai dijadikan pusat peperiksaan.

"Setakat ini, kita belum pasti bila tarikh sesuai bagi calon terbabit kembali ke sekolah masing-masing walaupun pelbagai pihak bertungkus-lumus membersihkan kotoran di sekolah itu yang ditenggelami air sehingga satu aras bangunan.

"Bagaimanapun, PPD sentiasa memantau secara berkala perkembangan di tiga sekolah itu sebelum pelajar dapat kembali ke sekolah dan ia bergantung kepada kebenaran Lembaga Peperiksaan dan JPNT," katanya.

Beliau berkata, walaupun Hulu Terengganu antara daerah paling teruk terjejas banjir dengan air melebihi tiga meter, beliau bersyukur kerana semua 1,564 calon selamat menduduki peperiksaan itu kecuali mereka yang dijangkiti Covid-19.

Sementara itu, Pengetua SMA Mahmudiah, Mazelin Ali berkata, pihaknya bersama guru dan sukarelawan serta agensi kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bertungkus-lumus membersihkan lumpur dan selut di kawasan sekolah akibat banjir minggu lalu.

Pada 27 Februari lalu, 131 calon SPM dari SMA Mahmudiah, 63 pelajar SM Imtiaz dan 41 pelajar Madrasah Moden dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu menggunakan bot selepas asrama didiami di sekolah mereka dinaiki air melebihi tiga meter.

Sumber : HARIAN METRO | https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/03/817466/235-calon-spm-kekal-menumpang-di-pusat-pemeriksaan-baharu-metrotv

Pin It

MDHT logofooterMAJLIS DAERAH HULU TERENGGANU,
21700 Kuala Berang,
Terengganu Darul Iman.

TALIAN AM : 09-6811 149 / 466
FAKS : 09-6811 655
E-MEL : mdht@terengganu.gov.my
WAKTU OPERASI : Ahad - Khamis | 8:00pg - 5:00ptg

Penafian : Majlis Daerah Hulu Terengganu tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.